Dadu Cinta Berubah mengikut Usia
Secara fitrahnya, manusia berubah apabila usianya bertambah. Kitaran percintaan pasangan melalui empat keadaan yang berbeza. Siapa sangka, kitaran percintaan pasangan sebenarnya menjauhkan mereka daripada segi fizikal tetapi semakin rapat dalam hati. Empat keadaan yang berbeza adalah faktor menambat hati melalui keempat-empat kelompok kitaran ini. Apabila kita memahami bagaimana keadaan ini berlaku, pasangan menjadi lebih mudah menjangkakan sebab-sebabnya.
Dadu Cinta Pertama
Tidak mencintai dan tidak peduli
Dalam mana-mana peringkat perkenalan,dadu cinta pertama adalah peringkat awal perkenalan bermula. Tidak ada apa-apa interkasi yang berlaku, berkemungkinan sekadar bertembung secara kerap di tempat-tempat yang dijanjikan, berkenalan sebagai rakan melalui hubungan kerja ataupun melalui orang tengah. kemungkinan juga disebabkan tinggal dalam kawasan yang sama sehingga perasaan bergerak ke dadu cinta kedua.
Dadu Cinta Kedua
Tidak mencintai tetapi peduli
Peringkat individu berubah daripada tidak mencintai dan tidak peduli kepada tidak mencintai tetapi peduli. Pada peringkat ini disebut juga sebagai tempoh suai kenal dan persahabatan telah mengambil tempat dalam tempoh ini. Hubungan menjadi rakan karib. Fokus hidup mula melibatkan diri.
Dadu Cinta Ketiga
Mencintai dan peduli
Hal ini bergerak ke dadu cinta peringkat ketiga apabila masing-masing memberi komitmen untuk menjadi pasangan. Pada peringkat ini, masing-masing mula mencintai dan bersikap peduli. Ketiadaan orang yang dicintai tanpa sebab akan menyebabkan keresahan.
Dalam amalan perkahwinan, amalan isteri yang mengongkong pasangannya ataupun sebaliknya disebabkan oleh perkahwinan yang berlaku dalam kelompok ini. Sikap sayang dan ambil peduli ini mengakibatkan pasangan berasa dirinya diperhatikan selama 24 jam. Pendekatan pasangan mula disalahertikan. Malah keadaan ini berlaku dalam kalangan mereka yang belum berumahtangga. Tahap cemburu timbul mendadak dan ada waktunya melibatkan perkara yang tidak perlu bagi bertindak sedemikian.
Dadu Cinta Keempat
Mencintai dan tidak peduli
Dadu cinta keempat melengkapkan kitaran cinta apabila masing-masing bersikap tidak peduli tetapi masih mencintai. Tidak peduli pada peringkat ini bukan bermaksud pasangan mula tidak ambil kisah dengan apa yang terjadi antara satu sama lain mahupun rumahtangga. Tetapi tidak peduli pada peringkat ini bermaksud pasangan mempunyai tahap kepercayaan kepada diri kekasihnyatanpa perlu menjadi mata dan telinga kepada pasangan selama 24 jam.
Masing-masing mempunyai ruang bagi menguruskan ruang peribadi mereka sama ada melibatkan tugasan di dalam mahupun di luar, melaksanakan aktiviti kegemaran dan waktu bersendirian. Malah dalam kategori ini,masing-masing mempunyai rasa cinta yang mendalam dan akan mewujudkan waktu peribadi untuk mereka berdua. Meskipun berjauhan namun ikatan mereka masih kukuh.
Kaum lelaki menggemari keadaan ini. Mereka bersedia memberi komitmen sepenuhnya kepada pasangan, selagi mana mereka mempunyai ruang bagi melakukan apa yang mereka suka selagi tidak melanggar tuntutan agama dan sosial.